Sunday, February 21, 2010

Lebih murah dengan E-PL1

TIDAK kiralah hibrid kamera refleks lensa tunggal digital (DSLR) dikenali sebagai Kamera Lensa Tunggal (SLC) oleh Panasonic, Sistem Kamera Generasi Baru (NGSC) oleh Olympus atau Kamera Lensa  Boleh Tukar Tanpa Cermin (MILC) namun ketika Olympus melancarkan Pen  E-P2 November tahun lepas, pengguna amatur masih tidak berani untuk menggunakan kamera ini ekoran ciri-ciri yang masih dengan penggunaan sukar (DSLR) yang lain.



Ini termasuk bagi model terdahulu, Pen E-P1 yang dilancarkan pada Jun 2009 yang masih sarat dengan ciri-ciri DSLR yang dilihat pengguna amatur amat sukar untuk digunakan.
Namun bermula bulan depan, para peminat fotografi terutama jurufoto amatur atau lebih mudah mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan penggunaan DSLR tapi tidak mahu ‘pening kepala’ dengan pelbagai ciri-ciri dan fungsi yang sukar, Olympus Pen E-PL1 pula akan dipasarkan.
Lebih menarik, model yang boleh dikatakan berada di tengah-tengah antara model terbaik hibrid DSLR yang ada sekarang, Olympus Pen E-P2 dan Panasonic GF-1 ini dijual dengan harga yang mampu menawan hati penggemar fotografi.
Ia akan mula dipasarkan awal Mac dengan harga RM2,499 bersama lensa kit 14-42mm f/3.5-f/5.6.
 Namun yang lebih menarik kali ini Olympus telah memudahkan penggunaan NGSC mereka dengan fungsi-fungsi yang boleh difahami oleh pengguna yang baru mahu berkecimpung di dalam arena fotografi profesional.
Tidak keterlaluan boleh dikatakan E-PL1 seolah-olah sebuah kamera kompak (fungsi yang mudah difahami dan mesra pengguna) yang mempunyai cip sensor yang lebih besar.
Bermakna kali ini pengguna fotografi baru akan lebih mudah memahami apa itu apertur, apa itu pengatup, apa itu kedalaman kekaburan dan lain-lain jargon fotografi yang kurang difahami dengan lebih mudah.
Dan bukan didatangkan dengan ayat sukar, semua fungsi Olympus Pen E-PL1 itu didatangkan dengan ikon-ikon menarik yang hanya memerlukan pengguna menekan butang sama ada tolak (-) atau campur (+) yang akan serta-merta memberikan hasil imej yang ingin dirakam pada paparan LCD 2.7 inci Pen E-PL1.

 
Malah kali ini, peminat Olympus pasti gembira selepas permintaan mereka diperkenankan dengan pengenalan flash bina dalam dngan keupayaan GN10 pada ISO 200.
Selain itu, Pen E-PL1 juga kini didatangkan dengan butang sedia rakam untuk rakaman video definisi tinggi (HD) 720p di panel belakang namun sedikit menjengkelkan kerana ibu jari pengguna akan sentiasa tertekan butang sedia rakam tersebut.
 Sedikit kecewa, rakaman video HD itu kali ini hanya mampu merakamkan bunyi mono berbanding stereo yang ada pada ‘abangnya’, Pen E-P2.
Tetapi semua aksesori termasuk Paparan Masa Sebenar Elektronik (ELV) masih boleh digunakan pada Pen E-PL1.
Pen E-PL1 didatangkan dengan warna putih, merah dan hitam. Turut dilancarkan ialah lensa 9mm-18mm f/4.0-f/5.6 (berada di pasaran Mei) dan 14mm-150mm f/4.0-f/5.6 (Jun).
Apa pun, kali ini Olympus yang dilihat semakin agresif dalam mereka bentuk hibrid DSLR sehingga peminat Olympus DSLR sebenar mereka kini masih tertunggu-tunggu kemunculan terbaru jaringan Sistem  E terutama pengganti E-3.
Lawat www.olympusimage.com.my untuk keterangan lanjut.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...