Monday, December 21, 2009

Lensa mewah di kamera kompak


BAGI peminat fotografi, Leica  merupakan antara nama lensa  atau kamera yang menjadi  idaman untuk dimiliki. Ini  berikutan kejituan dan ketajaman imej  serta kilauan warna menarik yang  dihasilkan menjadikan ia satu jenama  prestij yang menjadi idaman jurufoto.
Namun disebabkan harga serta nilai  yang terlalu tinggi jenama optikal Leica  hasil idea Oskar Barnack yang memasuki  pasaran konsumer pada tahun 1925,  hanya yang mampu sahaja dapat  memilikinya.
Apa pun kini, ia tidak lagi menjadi  hanya satu impian kerana Panasonic,  gergasi peralatan elektrik konsumer  global yang kini giat mempromosikan  peralatan audio visual mereka  menjadikan lensa Leica sebagai lensa  utama semua produk kamera kompak  keluaran mereka.
Ini membuatkan ramai yang terkejut  kerana jenama itu kini hanya diletakkan  pada kamera kompak dan dijual dengan  harga yang amat berpatutan. Namun  perbezaan harga yang tinggi tetap ada.
Sebagai contoh, kamera Leica D-Lux 4  yang mempunyai kapasiti, bentuk dan  kemampuan yang serupa dengan  Panasonic LX-3 mempunyai perbezaan  harga dua kali ganda.
Ini merupakan aspek subjektif. Bagi  peminat dan pengguna Leica, mereka  akan mengatakan ada perbezaan antara  kedua-dua kamera, namun hakikatnya  ketika penulis bertanyakan sendiri  kepada jurutera Audio Visual Digital  Panasonic di Osaka, mereka mengatakan  kedua-dua kamera berkenaan dibuat dan  ‘dilahirkan’ di Jepun dan sama.
Rangka, badan, enjin dan juga lensa  direka bentuk dan dihasilkan secara  besar-besaran di Jepun.
Namun apa yang pasti, D-Lux 4  dipaksa melalui perjalanan yang agak  panjang kerana ia perlu ia dihantar ke  Jerman untuk melalui pemeriksaan  terperinci sebelum dipasarkan.
Yang nyata, hasil yang diperoleh  melalui kedua-dua kamera itu adalah  sama tanpa banyak perbezaan.




Pengiktirafan Leica Camera AG  kepada Panasonic Corporation terhasil  pada tahun 1997 selepas satu perjanjian  teknikal dan kualiti lensa kamera video  dimeterai.
Perjanjian itu memberi kebenaran  kepada Panasonic untuk menghasilkan  secara besar-besaran lensa optikal  menggunakan teknologi Leica.
Menariknya, sinergi itu menyaksikan  produk pertama dikeluarkan pada  Oktober 2001 dan Panasonic terus  berusaha untuk bertapak sebagai  pengeluar utama dunia lensa separa  sfera ketepatan tinggi termasuk  menggunakan label Leica.
Lensa jenis ini bukan hanya  memberikan rakaman imej tanpa  penyimpangan, malah lensa itu  dihasilkan lebih kecil berbanding lensa  konvensional lain.
Teknologi ini yang membuatkan Leica  tambah percaya kepada Panasonic yang  turut berjaya menghasilkan teknologi  ketepatan sub-mikron dan teknologi  pengeluaran besar-besaran yang  sebenarnya diinginkan oleh Leica.
Menariknya, satu teknologi lagi yang  dikenali sebagai Kotak Hitam Yamagata  dihasilkan daripada idea penguasa kilang  Panasonic di Yamagata, Osamu Yuuki  membuatkan kolaborasi antara  Panasonic dan Leica bertambah erat.




Teknologi Kotak Hitam yang tidak  didedahkan dengan terperinci pada lawatan  itu membolehkan proses pemanasan  semula dan acuan lensa dilakukan dengan  hanya menekan satu butang.
Ketika dibawa melawat kilang, penulis  melihat sendiri apa yang dikatakan  Teknologi Kotak Hitam Yamagata. Sistem  yang mudah dengan cara kerja yang jitu  berjaya menghasilkan lensa ketepatan  tinggi untuk kamera kompak Panasonic,  Lumix termasuklah lensa Leica yang  dikenali sebagai Leica DC khas untuk  kamera kompak digital dan lensa refleks  tunggal Micro Four Thirds.
Mungkin ada peminat Leica  yang tidak percaya dengan situasi  ini, namun itulah hakikatnya di  mana, lensa model DC  Vario-Summicron, DC  Vario-Elmarit, and DC  Vario-Elmar dihasilkan di  Yamagata, yang terletak di utara Tokyo.
Yamagata sebenarnya antara wilayah  tercantik di Jepun yang masih mengekalkan  keindahan semula jadi namun tidak  membelakangkan kemodenan dalam  infrastruktur serta budaya.
Menurut Yuuki, keaslian serta  kebersihan Yamagata menjadikan  mereka wilayah yang terkenal dengan  penghasilan lensa optikal di mana bahan  mentah termasuk kaca kualiti tinggi  diperoleh di Yamagata sendiri.
“Kaca-kaca kualiti tinggi ini  kebanyakannya kami peroleh daripada  Yamagata selain dari mana-mana  wilayah di Jepun, namun ada juga  sebahagian kaca kami import dari luar  bergantung kepada keperluan.
“Tapi apa yang penting, selain kualiti  kaca, Teknologi Kotak Hitam yang kami  bangunkan membuatkan semua lensa  yang dihasilkan memberi keputusan  imej yang baik,” katanya.
Sehingga kini, kilang Panasonic di  Yamagata ini sudah menghasilkan  kira-kira 5 bilion lensa yang kini sedang  digunakan di seluruh dunia.
“Semuanya berkaitan. Jika kita hanya  ada lensa yang baik namun laras lensa   yang kurang tepat, ia tidak mampu  menghasilkan imej yang baik.
“Lapisan lensa juga memainkan peranan  yang penting dan itu menjadi keutamaan  kami di sini. Lensa Lumix dan lensa Leica  DC dihasilkan dengan ketepatan, teknologi  dan juga lapisan yang sama melalui  barisan pengeluaran yang sama.
“Sebab itu kami yakin sama ada  peminat foto menggunakan lensa Lumix  atau Leica DC, ia akan menghasilkan  kualiti imej yang sama.
“Cuma bagi semua lensa Leica DC, ia  akan dihantar ke Jerman untuk  pemeriksaan terperinci oleh Leica  Camera AG di Jerman sebelum ia  mampu dipasarkan,” kata Yuuki lagi.
 



Di kilang itu menurut Yuuki, mereka  mempunyai satu standard yang perlu diikuti  dalam menghasilkan mana-mana lensa.
Ini termasuk memastikan setiap satu  lensa yang dihasilkan berkualiti tinggi  dengan proses lapisan berganda  yang  mampu melenyapkan silau matahari.
Lensa yang dihasilkan juga tidak boleh  terpesong termasuk tidak mempunyai  penyimpangan imej ketika rakaman.
“Ini merupakan penyelesaian  keseluruhan sejak dari penghasilan reka  bentuk hingga ke pengeluaran,” kata  Yuuki.
Menurut Yuuki juga, penghasilan  lensa di Kilang Panasonic Yamagata itu  bukan hanya untuk Lumix dan Leica  semata-mata malah, mereka turut  membekalkan lensa kualiti tinggi  kepada beberapa pengeluar gergasi  kamera di dunia tanpa mahu  memberitahu syarikat mana.
Mengulas mengenai kejayaan yang  dihasilkan di Kilang itu, Yuuki turut  berkata, mereka mengutamakan  kepuasan pekerja seiring dengan  kepuasan pelanggan.
“Pekerja merupakan aset yang penting  kepada Panasonic untuk membolehkan  sasaran pengeluaran kita tercapai.
“Dan mereka juga adalah penguji kita  di mana setiap daripada mereka akan  menggunakan kamera Lumix untuk  menghasilkan imej dan boleh menyertai  pertandingan foto yang kilang  anjurkan,” katanya.
Selain lensa kualiti tinggi yang  dikeluarkan di situ, Kilang Panasonic  Yamagata turut mengeluarkan unit laras  lensa, lensa video dan juga kad memori  SD.
Untuk pengetahuan, Panasonic  merupakan antara pengeluar kad memori  SD terbesar dunia yang mempunyai  kapasiti sehingga 32 gigabit (GB).
Malah sumber syarikat turut  mengatakan, mereka kini dalam proses  untuk menghasilkan kad memori SD 1  terabit (TB), antara kapasiti paling tinggi  dalam industri.
Menariknya, dalam perlumbaan  menghasilkan produk berkualiti tinggi,  kilang ini mematuhi pematuhan arahan  sekatan bahan kimia berbahaya (RoHS)  Kesatuan Eropah yang turut seiringan  dengan prinsip Eco Ideas Panasonic  untuk menghasilkan produk hijau.
Ketika ditanya siapa yang mengikut  siapa dari segi teknologi lensa kamera  kompak digital, Yuuki sambil tersenyum  mengatakan: “Leica yang mengikut  Panasonic.”









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...