Friday, January 8, 2010

Bateri mampu undang malapetaka dahsyat



BATERI, ramai yang menggunakannya. Satu bekalan tenaga sampingan yang digunakan oleh semua tidak kira tua atau muda ekoran kapasiti yang tinggi tapi saiz yang kecil.
Namun dalam tidak sedar, pengguna gagal melupuskan bateri dengan baik selepas peranti itu tidak lagi mampu mengalirkan kuasanya.
Penulis percaya ramai yang tidak membuang bateri dengan baik selepas digunakan dan hanya melontarkan ke dalam tong sampah.
Bateri telefon bimbit yang hanya mampu bertahan selama setahun juga berbahaya. Mungkin kita hanya memikirkan ia hanya satu peranti yang kecil dan tidak memberi sebarang impak kepada alam sekitar, namun cuba bayangkan jika sebahagian 25 juta rakyat negara ini membuang sebiji bateri seminggu, apa akan terjadi?
Pembuangan tidak betul bateri-bateri yang sudah digunakan akan menyebabkan toksik plumbum tersebar secara meluas di permukaan bumi.
Jika plumbum memasuki tubuh kita, ia akan menyingkir logam-logam lain yang berguna di dalam tubuh manusia lalu menyebabkan kesan tertentu.
Logam-logam yang disingkir termasuklah zat besi, zink, raksa dan kuprum. Kekurangan bahan-bahan tersebut boleh menjejaskan pembentukkan sel darah merah normal.
Menurut Buletin Umum Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, pendedahan kronik plumbum boleh mengakibatkan kembung dan senak perut, sembelit, kurang selera makan, sakit kepala serta lesu. Itu baru plumbum.
Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar turut meletakkan bateri telefon bimbit sebagai bahan buangan e-Waste (SW-103) mengikut Jadual 1, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang perlu dilupuskan secara teliti.
Jika pelupusan bateri ini tidak dilakukan dengan sempurna, ia mampu mengakibatkan pencemaran alam sekitar terutama tanah, air bawah tanah dan menjejaskan kesihatan awam.
Laman web itu juga menyenaraikan kandungan bahan bateri termasuk kadmium boleh merosakkan paru-paru, buah pinggang, tulang dan risiko penyakit kanser.
Litium pula mampu menyebabkan kesan sampingan seperti cirit-birit, loya, muntah dan ketidaklancaran pertuturan serta kesukaran untuk berjalan.
Sementara raksa pula boleh mengakibatkan kesan buruk kepada sistem saraf dan buah pinggang dan menimbulkan masalah kepada penglihatan, pendengaran dan hilang ingatan.
Jadi kesimpulan yang boleh diambil, sebenarnya kita sendiri bukan hanya mencemarkan alam sekitar namun turut menyebabkan timbulnya beberapa penyakit yang dialami oleh kanak-kanak masa kini hanya kerana membuang bateri dengan cara yang salah.
Logo kitar semula yang diletakkan pada setiap pek bateri tidak memberi kesan kepada pengguna nampaknya.
Kita boleh memulihara alam sekitar daripada pencemaran sebenarnya. Tapi disebabkan masalah mementingkan diri sendiri, perkara yang pada awalnya dianggap remeh, mampu membawa malapetaka yang lebih dahsyat.
Mungkin bagi segelintir rakyat negara ini, amalan kitar semula merupakan satu perkara yang amat susah dilakukan.
Sikap mementingkan diri sendiri mampu mengundang musibah di kemudian hari.
Apa kata, tahun 2010 ini kita mengubah sedikit demi sedikit amalan buruk yang selama ini sering kita lakukan.
Mula dengan perkara mudah. Bateri yang sudah digunakan, jangan dibuang sesuka hati. Sebaliknya dikumpul dan dilupuskan dengan cara yang betul.
Bilik operasi ibu pejabat JAS di Putrajaya beroperasi 24 jam dan mereka boleh dihubungi di nombor talian 1-800-88-2727. Jika tak ada, hubungi terus Ketua Pengarah JAS, Datuk Rosnani Ibarahim di 03-88712173.
Tanyakan mengenai cara yang betul membuang bateri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...