Friday, January 22, 2010

Al-Fatihah Kak Faridah, Nazudeen



DUA kejutan dalam tempoh seminggu pada tahun baru 2010 kepada semua staf Utusan Malaysia.
Lebih-lebih lagi kepada krew editorial dengan pemergian Kak Faridah Hashim, 17 Januari lalu yang juga merupakan isteri Abang Khalid Saad bos aku ketika menjadi wartawan sukan di Utusan Malaysia, dan rakan jurufoto Nazudeen Mahmud, 21 Januari.
"Salam. Faridah Hashim isteri Khalid Saad  meninggal dunia sebentar tadi pukul 2.35 pagi.  Alamat rumah No.37, Jalan 4/11E, Bandar Baru  Bangi.'' - Ini SMS daripada Pengarang Kanan Online, Gamal Nasir; Pengarang Online I, Hasani Hassan termasuk SMS daripada nombor Kak Faridah sendiri yang dihantar oleh anaknya, Amir Khalid.
Kak Faridah aku kenali semasa arwah menjadi Penolong Pengarang Luar Negara. Bagi aku Kak Faridah ni mempunyai knowledge persuratkhabaran yang amat tinggi. Tak lokek ilmu.
Dia mampu memgesan kesalahan yang dilakukan pemberita dan mampu pula memberi contoh yang betul tak kira ia dalam bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris.
Walaupun dia kadang-kadang nampak garang, tapi ada ketika dia seorang yang kelakar dan suka ketawa dengan kelakar yang dia reka sendiri.
Malah, sifat keibuan yang ada pada Kak Faridah diterapkan ke mana-mana sahaja meja yang dia pergi.
Dan aku percaya pasti kini ada yang terasa kehilangannya termasuk ingin sekali merasai buah kedondong atau buah mangga muda potong dengan kuah kacang pedas yang sering menjadi tumpuan semua kakitangan.
Dia memang tak lokek makanan, ada saja jajan yang dibawa dan diletakkan di atas meja untuk semua rasa.
Semua itu kini sekadar mejadi ingatan manis sahaja.
Seperkara yang paling kelakar, aku dan Kak Faridah menjadi peniaga kecil-kecilan di editorial. Arwah menjual kacang-kacang, asam, gula-gula dan biskut sementera aku menambah dengan menjual air mineral. Sebab aku tahu, lepas makan kacang, orang pasti haus, dan tak semua orang boleh minum air free RO yang dibekalkan pejabat.
Jadi air mineral 600ml berharga RM1 itu mampu menjadi pembasah tekak selepas menjamu selera dengan kacang.
Pada awal meniaga dulu (Kak Faridah lebih awal mula meniaga) ada orang tersalah masuk duit ke dalam kotak aku. Ada kala kotak duit aku tiba-tiba rasa macam terlebih berbanding botol air mineral yang dijual.
Dan duit yang lebih tu selalunya aku masukkan ke dalam kotak duit Kak Faridah, sebab aku boleh pantau berapa botol, arwah punya memang banyak, tak tau berapa bungkus ada dalam kotaknya.
Arwah memang mempunyai komplikasi penyakit dan aku turut pernah menyaksikan arwah semasa bertugas terkena fix.
Apa pun, arwah memang merupakan seorang wartawan sejati. Dicampak ke mana sahaja, tugas yang diberikan dilakukan dengan penuh teliti dan sepenuh jiwa. Tak seperti ada segelintir wartawan generasi baru yang mengeluh ketika diletakkan di meja yang tidak mereka sukai.
Selain Abang Khalid, arwah meninggalkan dua anak  lelaki dan dua perempuan berusia antara tujuh hingga 20 tahun.



Nazudeen, orangnya unik namun sentiasa menceriakan kepada sesiapa yang berbicara dengan arwah. Tak pernah sekalipun aku melihat Deen membuat orang marah, malah sering membuat lawak walaupun ada sesekali melepaskan perasaan tak puas hati dengan kerja seharian.
Sekali lagi, disebabkan kepenatan berkerja, pemergian arwah hanya dapat aku tahu pada pukul 1 petang. Bertanyakan keapda rakan-rakan, arwah telah dibawa pulang ke kampung halaman di Ipoh Perak untuk disemadikan.
Arwah sebelum itu dikatakan terjatuh di ofis selepas mengadu sakit dada kepada rakan-rakan kira-kira pukul 10.30 pagi dan terus dikejarkan ke HUKM untuk rawatan lanjut.
Lebih menyedihkan, arwah dijadualkan membuat liputan ternakan ikan tilapia di Tasik Temenggor, Perak pagi hari kejadian.
Seolah-olah sudah tahu dia akan kembali ke kampung halamnnya untuk selama-lamanya.
Aku mengenali arwah pada tahun 1993 dan ketika itu aku bertugas sebagai jurufoto di BeritaHarian. Tidak pernah memanggil namanya, dan aku sering memanggilnya Yeop.
Kalau berborak bersama, pasti ada saja cerita lucu, lucah, sadis, geram, marah akan dibualkan ketika kami sama-sama memegang kamera dahulu.
Selepas arwah ditukarkan ke Ipoh, hubungan kami putus seketika namun kembali berhubung selepas aku menyertai Utusan Malaysia pada tahun 2001.
Seingat aku, arwah yang suka tersengih ni seorang yang passion dalam melakukan kerjanya.
Arwah juga tak segan bertanya dan ada satu ketika dia bertanya kepada aku mengenai handphonenya.
Dia nak handphonenya boleh menghantar gambar melalui laptop, namun aku kata, handphone dia tak boleh buat gitu sebab kalau baling anjing, anjing tu akan mintak ampun.
Dan sebaik aku kata begitu, handphonenya dicampak ke lantai di dalam bilik foto, sambil tersengih dia mengutip kembali handphone itu. Dan masih berfungsi.

Tapi memang realitinya gitu kerana arwah menggunakan handphone Nokia  yang tidak akan rosak jika terjatuh, masuk air atau lain-lain perkara yang mampu merosakkan telefon biasa.
Rupanya juga macam tayar traktor.
Selepas itu, ketika aku memegang jawatan Penolong Pengarang Sukan, hasil seni yang dilakukan oleh arwah sering mendapat perhatian ketika aku ingin memakai foto.
Ini berikutan arwah pasti akan melakukan banyak efek dalam foto yang dihasilkan.
Aku ingin pakai namun kekakangan dan polisi syarikat memaksa aku melupakan hasrat itu.
Tapi sesekali aku aku pakai juga, apa nak jadi jadilah. Biarlah orang kata: "Apa ni blur.", "La, pesal kabur tak terang, tak sharp." tapi bagi aku itu adalah hasil seni seorang jutufoto yang bersunguh-sungguh melakukan kerjanya.
Bukan hanya foto sukan, apa saja tugasan yang arwah buat membolehkan gambar itu digunakan. Seninya cukup unik.
Jika aku di majalah, pasti foto itu dulu yang menarik perhatian aku.
Arwah memang tak mahu menyusahkan orang, ini berikutan arwah yang terkenal dengan rambut panjang dan berkumis tebal sebelum ini pada hari terakhir kelihatan kemas dan bersih. Seolah-olah tak mahu menyusahkan urusan ketika mandi mayat.
Allahyarham meninggalkan seorang balu,  Zurainee Wahab, tiga anak iaitu Nor Atikah  Hanim, 14, Mohd. Haris, 11, dan Nor Alisha  Hani, 5.
Salah seorang anak arwah menderita penyakit jantung berlubang.
Mengungkap kata-kata Pengarang Majalah Wanita, Kak Normala Hamzah, kasih sayang kita kepada kedua-dua arwah biar setinggi gunung, biar seluas lautan tapi tidak dapat mengatasi kasih sayang Allah kepada mereka berdua.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama ahli sunah waljamaah. Amin!

Al-Fatihah.


Kak Faridah (duduk kanan) bersama rakan-rakan Unit Utusan Online
- Gambar ihsan Utusan Online


Gambar terakhir Nazudeen dengan rakan-rakan selepas 
mesyuarat pertama Unit Foto Utusan Malaysia pada 20 Januari 2010.
- Gambar ihsan Utusan Malaysia


Hasil seni terakhir arwah Nazudeen berkenaan
isu merokok di kawasan larangan pada 19 Januari 2010. 

- Gambar ihsan Utusan Malaysia  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...