Saturday, December 6, 2008
Antara Charlie, Phuket dan Sathia
KEPUTUSAN perlawanan permulaan Piala AFF dengan Laos hari ini merupakan tanda awal bagi penilaian prestasi jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan sama ada khidmatnya diteruskan atau tidak pada musim akan datang.
Skuad bola sepak 22 pemain yang berangkat ke Phuket, – wilayah hiburan yang penuh dengan pancaroba Thailand - kelmarin menggunakan pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat ramai sebagai satu dimensi baru aksi antarabangsa para pemain yang sejak akhir-akhir ini dipertikaikan kredibiliti mereka.
Mengekalkan ramai pemain lama tanpa menghiraukan prestasi peringkat domestik, Sathia mengambil tindakan drastik untuk terus percaya terhadap kemampuan pemain senior.
Bagi dia, para pemain itu mempunyai sikap ampuh yang mampu mengelakkan keadaan menjadi huru-hara selain mampu mengekalkan rentak jika terus diasak oleh Laos.
Malah kata Sathia, pengalaman yang ada pada para pemain senior itu tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa: “Mereka mampu menyerap tekanan berbanding pemain muda yang mudah hilang keyakinan.’’
Kenyataan itu juga terus menidakkan aksi terbaik pemain muda di peringkat liga tempatan kerana pada Sathia, dia mahukan mereka memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.
Namun bagi peminat, tidak kiralah apa yang Sathia cuba nak terapkan sama ada mengambil pemain senior atau muda, namun apa yang diimpikan oleh penyokong hanyalah kemenangan di peringkat tertinggi.
Malah, jika berjaya di Piala AFF ini, pastinya ia merupakan satu kejayaan unggul dalam sejarah negara ekoran kita tidak pernah menjuarai kejohanan tersebut sejak ia mula diperkenalkan 12 tahun lalu dengan yang dikenali dengan nama Piala Tiger.
Terbaik pun, negara berjaya sampai ke peringkat final di Singapura pada tahun 1996 dan hanya ke aksi separuh akhir dari 2000 hingga 2006.
Ramai yang mempertikaikan kredibiliti Sathia sebagai jurulatih, lebih-lebih lagi selepas kekalahan pasukan negara pada Kejohanan Pestabola Merdeka dengan pasukan bawah 22 tahun Vietnam.
Kekalahan tersebut 5-6 hanyalah melalui sepakan penalti. Mungkin disebabkan tahun sebelumnya, negara melalui skuad yang hampir sama bimbingan Sathia berjaya mengalahkan Myanmar 3-1, jadi ia menjadi antara perbandingan yang diguna pakai oleh peminat bola sepak.
Namun jika disorot kembali prestasi Sathia sebagai jurulatih negara tahun ini, banyak juga peningkatan yang dilihat pada skuad Malaysia.
Terbaik, skuad negara berjaya mengekang kelab Liga Perdana England, Chelsea yang menang 2-0 di Stadium Shah Alam Julai lepas dan yang paling terbaru berjaya berkongsi kedudukan dengan penyandang juara Piala AFF, Singapura 2-2 pada perlawanan persahabatan di mana, republik itu rata-rata menggunakan pemain import yang diberi kerakyatan berganding kita yang menggunakan jentera tempatan sepenuhnya.
Prestasi merudum bola sepak negara terus dipertikaikan sehingga ada ahli Parlimen yang turut mempersoalkan kemampuan pemain selain megah menyatakan mereka tidak kenal pemain sekarang berbanding dahulu.
Disebabkan aksi pemain hambar (atau mungkin mereka membandingkan aksi pemain di Liga Perdana England) menyebabkan mereka tidak mahu mengambil tahu siapa dia pemain negara.
Tidak seperti zaman Mokhtar Dahari kata mereka, semua pemain dengan setiap posisi dapat diingati dengan tepat sehingga ke hari ini.
Apa pun, pemain tidak harus dipersalahkan secara total. Peminat juga tidak mungkin perlu dipersalahkan hanya kerana tidak mengenali pemain. Sathia juga bukanlah orang yang perlu dipertanggungjawabkan atas kesuraman prestasi bola sepak negara kerana semuanya berkait rapat.
Tidak ada pemain, tidak adalah peminat, dan pemain yang ingin beraksi baik, memerlukan jurulatih yang baik juga. Namun jika tidak ada peminat yang menyokong, pemain yang beraksi di stadium kosong juga lama kelamaan akan bosan dan mula berkira-kira hanya mahu menghabiskan musim tanpa mahu menunjukkan prestasi sebenar mereka.
Apa pun, kejayaan perlu dihasilkan di Piala AFF walaupun ia merupakan tahap saingan paling rendah rantau ini. Mungkin perjalanan masih jauh untuk bergelar jagoan Asia Tenggara, namun hakikatnya, jika semangat Harimau Malaya diterapkan, kebangkitan bola sepak negara pasti tercapai.
Mungkin kerisauan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemerosotan bola sepak negara bakal reda dengan aksi anak Malaysia di Phuket, nanti.
Apa pun, jangan ofsaid dah la.
[ Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 2008 ]
Labels:
Ofsaid
Subscribe to:
Posts (Atom)