Friday, April 2, 2010

Din Beramboi dalam kenangan

Kembalinya Din Beramboi atau nama betulnya, Mior Ahmad  Fuad Mior Badri ke rahmatullah mengejutkan banyak pihak.
Ini berikutan, Din Beramboi yang sebelum ini bersiaran setiap pagi dari pukul 6am-10am di Radio Era bersama Aznil Hj. Nawawi sering menghiburkan pendengar dengan celoteh tak kering gusi yang sinonim dengan slot sawancara Riuh di Pagi Era bersama-sama pendengar.

Namun, pagi ini (2 April 2010), hari Jumaat, tiada lagi kedengaran suara riuh rendah itu, malah Aznil juga tidak ke udara.

Mengikut berita, arwah meninggal dunia di Hospital Selayang pukul 12.30 pagi 2 April 2010 selepas tiga hari terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu kerana dengue shock syndrome yang dikatakan mengakibatkan beberapa organnya tidak berfungsi.

Arwah memang seorang yang periang dan bagi mereka yang mengenali beliau, dia tidak pernah membiarkan orang yang berada disebelahnya sedih. Pasti ada saja lawak bersahaja, merapu, gila yang dilakukan sehinggakan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling tidak akan kering gusi.
“Saya tidak kisah orang hendak kata apa  sekalipun tentang lawak jenaka saya. Esok  atau lusa kalau saya sudah meninggal dunia, mungkin orang akan ingat dengan konsep lawak yang sebegini. Kalau boleh, saya juga mahu menjadi  pelopor kepada lawak-lawak saya yang  kononnya dikatakan ‘merapu’ itu,” kata arwah.
 
Itulah yang menyebabkan tidak ramai yang tahu arwah sedang sakit atau sebagainya.

Penulis sebenarnya berjiran dengan Din Beramboi di Taman Perwira, Gombak ketika zaman persekelohan. Ketika itu, dia lebih dikenali sebagai Fuad.

Gambar terakhir arwah Din Beramboi bersama-sama Bob Lokman
dan Afdlin Shauki semasa menjadi  pengkritik tetap rancangan 
Raja Lawak Astro musim ke-4.


Boleh dikatakan arwah merupakan senior penulis di kawasan perumahan berkenaan dan kami bersama rakan-rakan lain akan lepak berborak mendengarkan celotehnya seperti biasa selepas habis bermain sepak takraw.

Tidak diketahui bila nama pena Din Beramboi melekat pada arwah. Malah ada isu yang timbul mengatakan Din Beramboi merupakan trademark kartunis Ujang dan sebagainya.

Malah, sketsa temuramah seorang pelajar dengan Pakcik Kayo, Halaman Pertanian, Bandaraya dan Anda yang pernah terkenal pada tahun 90-an dulu dikatakan hasil nukilan Din Beramboi.
Apa yang dilihat semasa hayat arwah ketika di dalam TV adalah sama ketika dia diluar. Lawaknya, bersahaja. Dan yang paling menarik, Din Beramboi tidak ego atau hidung tinggi ketika bertemu peminat di luar.

Sejak kebelakangan ini, dilihat rezeki Din Beramboi semakin menjadi dengan menjadi hos rancangan Mandi, Wuhai Beramboi malah Afdlin Shauki turut menawarkan Din Beramboi melakonkan watak hero dalam filem terbaru beliau, Ah Long Bukit Beruntung yang dijadualkan penggambarannya selepas Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Namun Allah lebih menyayangi Din Beramboi dan dia pergi meninggalkan kita terlebih dahulu pada usia 44 tahun.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Suhaini Che’ Man, 42, dan  tiga anak iaitu Nil Aina, 17; Mior Shafiq, 12, dan Mir Ain, 6.


Al Fatihah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...