RAMAI sering bertanya jenis bekas kalis air yang sesuai untuk kamera tidak kira sama ada yang menggunakan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) atau kompak.
Pertanyaan itu semakin banyak sehingga ada yang menjadi rambang mata dek kerana pembuat bekas kalis air juga terlalu banyak di pasaran.
Dan apa yang mereka inginkan ialah apa yang senang digunakan dan murah!
Murah ialah satu perkara yang subjektif dalam pembelian bekas kalis air untuk sebarang jenis kamera kerana tidak semua jurufoto mempunyai pendapat yang sama dalam menentukan sama ada bekas kalis air kamera mereka murah atau tidak.
PANASONIC antara pengeluar kamera yang turut membangunkan bekas kalis air jenama mereka sendiri yang lebih murah. |
Sebagai contoh, bagi sesetengah jurufoto dasar laut, mengatakan harga sekitar RM10,000 bagi sistem DSLR dengan bekas kalis air mereka adalah murah berbanding ada jurufoto yang mengatakan harga RM900 hanya untuk bekas kalis kamera kompak mereka adalah mahal.
Bagi penulis, semuanya bergantung kepada kemampuan individu.
Ini berikutan harga yang ada di pasaran bergantung kepada kadar tukaran wang asing ekoran semua peralatan ini diimport.
Namun, apa yang perlu diketahui ialah apa tujuan kita merakamkan gambar di dasar laut itu. Sama ada untuk suka-suka atau sebagai satu kerjaya profesional.
Ini berikutan jawapan kepada pertanyaan itu bakal memberikan idea yang lebih baik untuk mendapatkan bekas kalis air kamera anda.
Kepada yang baru mahu berkecimpung dengan hobi ini, bekas kalis air yang dibeli untuk satu-satu model kamera tidak boleh digunakan untuk model lain.
Jika anda sudah melaburkan ribuan ringgit untuk sistem Nikon D700, peralatan itu hanyalah untuk model berkenaan sahaja dan jika ada model baru dipasaran, anda perlu membelanjakan wang lain untuk membeli bekas kalis air yang baru.
Jadi, sebelum membeli apa kata kita lihat dulu beberapa perkara yang penting dalam menentukan jenis peralatan yang akan kita gunakan.
Pertama, jika mahu mengambil gambar secara suka-suka dan hanya akan menyimpan gambar berkenaan dalam cakera keras tanpa melakukan apa-apa atau yang paling tinggi ialah melakukan cetakan sebesar saiz 8R, penulis mencadangkan mereka mendapatkan kamera kompak separa profesional yang ada di pasaran kini.
Kamera kompak itu mampu menterjemahkan imej yang berkualiti namun tidak memerlukan pengguna menjadi seorang jurufoto profesional dalam mengendalikan perlatan berkenaan.
Lebih menarik, ada pembuat kamera yang mengeluarkan sendiri bekas kalis air untuk kamera kompak itu dengan harga yang dianggap munasabah dan tidak membebankan.
Bagi melebarkan kreativiti, banyak syarikat aksesori turut membangunkan aksesori pilihan untuk pelbagai bekas kalis air termasuk flash, lensa lebar, lensa mikro, lengan pemegang flash dan sebagainya.
Dengan adanya aksesori ini, penggunaan kamera kompak juga tidak terbatas dengan kemampuan sedia ada kamera berkenaan.
Namun kamera kompak tetap ada batasnya. Ini termasuk mempunyai pemproses cip yang kecil yang turut membataskan jika imej mahu dicetak di atas saiz kertas foto yang lebih besar daripada 8R.
Selain itu, sela masa pengatup (shutter lag) yang perlahan menjadi antara halangan utama kepada pengguna kamera kompak dalam merakamkan imej di dasar laut.
Ini agak menghampakan jika imej yang mahu dirakamkan itu adalah spesies ikan yang jarang ditemui disebabkan kepantasan ikan itu berenang gagal menyaingi kemampuan selam masa pengatup kamera kompak.
Namun bagi yang ingin mendapatkan DSLR pula, mereka perlu membelanjakan wang yang agak banyak dalam melengkapkan sistem bekas kalis air mereka.
Ketika penulis baru menceburi bidang fotografi digital dasar laut pada tahun 2000, kos hampir mencecah sehingga RM50,000 untuk mendapatkan set lengkap sistem bekas kalis air dan peralatan sokongan dan ini tidak termasuk kamera yang ingin digunakan.
Ketika itu, mahal atau murah bukan lagi pilihan tetapi lebih kepada ciri-ciri utama bekas kalis air termasuk kemampuan semua butang yang ada memberikan kawalan penuh kamera yang digunakan.
Di pasaran sekarang, selain ciri-ciri penuh kamera, bekas kalis air turut menawarkan penggunaan bahan yang lebih ringan, mampu menggunakan aksesori pilihan lain, mampu disambungkan dengan pelbagai cara untuk nyalaan flash dengan fungsi TTL dan sebagainya.
Namun yang paling dilihat sebagai antara ciri utama bagi pembelian bekas kalis air DSLR pada masa kini ialah ringan dan mudah dikendalikan.
Apa pun, semuanya bergantung kepada pengguna dengan kemampuan kewangan untuk mendapatkan bekas kalis air pilihan mereka kerana apa yang ada di pasaran adalah yang terbaik.