Thursday, May 21, 2009

Takziah, Rest in peace Apai


Agak terkejut ketika sedang membelek Fotostation mencari-cari gambar untuk disumbat ke dalam album akhbar keluaran esok, aku melihat foto MyKad.

Samar-samar aku rasa aku kenal kad berkenaan.

Di fikiran, ada satu saja kejadian jika MyKad berada di dalam Fotostation iaitu MATI.

Setelah dibesarkan memang telaah aku menjadi kenyataan kerana terpampang pada MyKad berkenaan nama RAPA'EE BIN KAWI.

Sudah lama aku tidak berborak dengan Apai (nama panggilan rakan2) sejak aku berhijrah keluar dari Berita Harian lebih sembilan tahun yang lalu.

Aku masih lagi ingat ketika itu Apai (Rapa'ee Kawi), Zorro (Zulkepli Osman) dan aku, tiga orang melangkah masuk ke pejabat Berita Harian pada Mac tahun 1991. Hanya kami bertiga untuk batch tu.

Apai yang baru pencen daripada askar penuh dengan pengalaman manakala Zorro merupakan jurukamera TV3 yang juga sarat dengan pengalaman.

Aku, ketika itu hanya menunggu keputusan Diploma Fotografi ITM dan mungkin aku bernasib baik terpilih berkerja di BH.

Apai yang aku kenali seorang yang periang dan tak pernah nak menyakitkan hati orang.

Tanya saja sesiapa, pasti itu juga yang akan mereka ungkapkan.

Malah si Apai ni suka sangat menolong orang sehinggakan ada yang tak menyukai keramahan Apai sebab dia tak boleh diam.

Ada saja benda nak dicakapkan.

Pada aku, dah memang dia gitu nak buat macam mana.

Satu perkara yang aku ingat sampai sekarang, Apai kena marah dengan Lee Hon Yew (Ketua Foto BH ketika itu) sebab kaki terseliuh dan tak boleh buat kerja.

Sebabnya ialah si Apai ni sibuk nak mencuba latihan payung terjun di Melaka (jika aku tidak silap).

Dia ditugaskan membuat liputan tetapi sebab gian kerana sudah lama tidak terjun, maka Apai pun terjunlah. Dia merupakan askar Rejimen Renjer Diraja.

Tapi dia lupa, masa di di dalam service dulu, badannya masih ramping dan kurang lemak, berbanding semasa dia berkerja di BH, dengan lemak dan kurang senaman itulah dia terjun dan akibatkan semasa landing, berat berlebihan itu menyebabkan kakinya terseliuh.

Selain itu, Apai yang merupakan seorang Iban Melanau beragama Kristian cukup susah nak makan masa bulan puasa.
Manakan tidak, pada IC tertulis bin di tengah-tengah namanya.

Kata Apai, itu kesilapan masa register nama dia kat pendaftaran, jadi sampai sekarang bin itu ada pada MyKad mendiang.

Menurut rakan wartawan di Kuching, Sopi Somaile, Apai rebah ketika melakukan pemeriksaan di sebuah poliklinik dan doktor mengatakan tekanan darah Apai terlalu rendah.

Apapun, aku mengucapkan takziah kepada keluarga Apai yang berada di Kuching dan Mukah.

Setahu aku dia ada empat orang anak. Harap-harap rakan-rakan di Kuching dapat membantu serba sedikit kesusahan yang dihadapi keluarga mendiang.

R.I.P Apai. 1958-2009

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...