Sunday, November 2, 2008
KWSP, kemampuan dan prestasi bola negara
SEMUANYA pasal bola. Sejak kebelakangan pelbagai isu timbul termasuklah yang terbaru isu pem bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh kebanyakan persatuan bola sepak negeri.
Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim secara terbuka dan tanpa malu menyatakan kepada media, PFA akan muflis jika KWSP meneruskan niat menyaman mereka kerana dikatakan berhutang caruman KWSP pemain sebanyak RM500,000.
Shahidan yang merayu supaya tindakan undang-undang tidak diambil agar PFA tidak jatuh muflis mengatakan, dia terpaksa mengeluarkan duit poketnya sendiri dalam mengurus bola sepak Indera Kayangan itu.
Masalah kewangan Perlis, yang menduduki tangga ke-7 pada persaingan Liga Super musim lepas semakin teruk selain turut dikatakan berhutang gaji dengan pemain sama seperti Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang mengancam untuk menarik diri daripada penyertaan Liga Malaysia musim depan ekoran beban kewangan yang semakin buruk.
Ketika peminat bola sepak negara ternanti-nanti aksi terbaik pasukan kesayangan mereka, isu-isu ini sedikit sebanyak melebarkan prasangka buruk terhadap kemampuan pasukan kesayangan masing-masing dalam saingan Liga M.
Jika sekitar tahun 90an dulu, kita akan dapat menyaksikan stadium penuh dengan penyokong fanatik setiap negeri menyokong dan bersorak untuk pasukan mereka namun memasuki abad baru ini, stadium seakan-akan kosong, malah hanya separuh kapasiti keseluruhan tempat duduk yang mampu diisi ketika perlawanan Pestabola Merdeka 2008 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu memuatkan 100,000 penonton, baru-baru ini.
Jika kurang penonton, maka persatuan negeri juga akan kekurangan sumber pendapatan untuk mentadbir perjalanan pasukan. Itu tidak lagi dikira kekurangan penajaan daripada syarikat swasta.
Peminat mahukan yang terbaik namun pemain dilihat tidak mampu memberikan persembahan mengikut permintaan peminat mereka.
Isu ini pastinya akan dikaitkan dengan zaman legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang mampu membuatkan peminat bola sepak negara melopong dan ternanti-nanti aksi pemain negara beraksi di kejohanan peringkat negeri, kebangsaan ataupun antarabangsa.
Stadium sentiasa penuh. Perbandingan itu pastinya akan berkisar dengan kemampuan SuperMokh dan rakan-rakan lain walaupun ketika itu tidak ada fasiliti atau sains sukan yang mampu meningkatkan prestasi pemain.
Dan isu ini juga akan membandingkan pasukan-pasukan yang dahulunya kecut perut dengan Malaysia tetapi kini sudah berada pada ranking terbaik malah layak untuk persaingan Piala Dunia walaupun fizikal mereka sama dengan pemain negara.
Jadi apa silapnya bola sepak negara? Pengurusan, pemain, sains sukan atau sokongan peminat sendiri?
Semua ini perlu difikirkan kembali. Jika kurang peminat datang ke stadium, perolehan pasukan negeri atau kelab akan kurang dan pembangunan prestasi pemain juga akan terbantut namun semua ini berkait rapat.
Ia akan berbalik semula dengan kemampuan pemain untuk menunjukkan aksi permainan hebat bagi membolehkan peminat memenuhi stadium.
Tapi... isu ini hampir tiada noktah. Jadi siapa yang salah dan siapa yang perlu diperbetulkan.
Jangan sampai ofsaid dah la.
[ Dipetik daripada Utusan Malaysia bertarikh 2 November 2008 ]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment