Showing posts with label Ofsaid. Show all posts
Showing posts with label Ofsaid. Show all posts

Thursday, April 9, 2009

Hooliganism semakin jadi pilihan penyokong fanatik


NAMPAKNYA, Hooliganism semakin menular dalam arena bola sepak negara ini sehinggakan ia dilihat semakin parah dan tidak terkawal.
Hanya disebabkan kalah kepada pasukan pelawat, penyokong fanatik meletakkan undang-undang di tangan sendiri sehinggakan trak polis dibakar dan yang lebih mengecewakan, ramai yang menyaksikan keadaan itu tidak melakukan apa-apa malah ada yang mengambil kesempatan turut sama ‘memeriahkan’ suasana membakar, memecahkan cermin dan merosakkan harta awam.
mereka itu satu kerja yang seronok dan ketika itu, ia seolah-olah satu pesta. Kejadian buruk di luar Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin didakwa Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan terjadi akibat perasaan tidak puas hati penyokong bola sepak negeri itu terhadap tindakan penguatkuasaan yang dilakukan oleh polis selepas insiden yang hampir sama terjadi di dalam stadium.
Masalahnya di sini, penyokong fanatik sesebuah pasukan itu dilihat semakin tidak terkawal. Sama ada polis mengawal atau tidak, mereka berada dalam dunia mereka sendiri. Bagi penulis, polis tidak akan melakukan tindakan secara membuta tuli dan mereka akan bertindak jika melihat keadaan semakin tidak terkawal.
Adakah jika penonton sudah mula membaling objek ke dalam padang sehingga memerlukan pemain dibawa keluar dengan bantuan Unit Simpanan Persekutuan (FRU), pihak polis perlu mendiamkan diri dan hanya melihat sahaja apa yang berlaku.
Ini masalahnya di sini, jika ia satu yang buruk, semua akan menunding jari antara satu sama lain. Penulis pasti hari ini, banyak tulisan di akhbar, blog dan forum akan memperkatakan tentang hal ini dan banyak persatuan penyokong pasukan Wira Merah itu akan menafikan ahli-ahli mereka terlibat.
Tapi yang pasti, kejadian itu berlaku di Kelantan. Tidak seperti Hooliganism yang berlaku di London, yang menyaksikan sesiapa sahaja akan merusuh tidak kira daripada mana mereka datang, kejadian di Kota Bharu itu pastinya dilakukan rakyat negeri itu sendiri.
Dan bagi penulis, Halim Napi tidak perlu dikaitkan dengan kejadian merusuh itu kerana dia pemain yang beraksi di padang dan dia berada dalam tekanan ketika marah. Siapa yang tidak kenal Halim, bekas penjaga gol veteran kebangsaan dan penternak lembu yang sering ‘menggelegak’ semasa beraksi.
Namun panas-panas Halim itu, hanyalah di atas padang dan pastinya akan surut selepas perlawanan berakhir. Jika dia bertindak luar kawalan dan melakukan kekasaran, dia akan dihukum. Tidak kira oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Tetapi tidak pula bagi penyokong yang terus-terusan menggelegak sehinggakan mengambil keputusan untuk ‘mengganas’. Ini bakal memberikan implikasi buruk kepada KAFA yang kini menerima hukuman awal pertama bermain di padang berkecuali. Selepas ini tidak siapa yang tahu padah yang bakal diterima oleh KAFA daripada FAM Mungkin tindakan perlawanan di stadium kosong tanpa penyokong dalam tempoh tertentu? Dan jika itu berlaku, hasrat Kelantan yang dinaikkan taraf beraksi pada perlawanan Liga Super daripada Liga Perdana musim ini bakal hambar ekoran ketiadaan penonton di Stadium Sultan Muhammed IV.
Adakah ini yang dimahukan oleh penyokong fanatik Kelantan? Adakah ini akan memuaskan hati mereka yang telah membakar trak polis malam kelmarin? Jika jawapannya ya, penulis dapat rasakan, skuad Wira Merah yang sedang mencuba untuk mengembalikan martabat sebagai salah satu pasukan ternama bakal terkubur.
Selama, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa merayu: ‘‘Kalau sayangkan pasukan dan negeri, ambil tanggungjawab dengan tidak melakukan sesuatu yang menjejaskan.”
Namun adakah penyokong fanatik di luar sana akan menurut rayuan itu atau mereka tetap dengan prinsip mereka sendiri?
Apapun jawapannya, jangan sampai ofsaid dah la.

Saturday, January 24, 2009

Alasan Sathia dan botol air mineral


HABIS sahaja perlawanan antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, rata-rata peminat bola sepak Malaysia berang dengan keputusan yang diperoleh oleh pasukan Harimau Malaya sehingga ada yang mula membuka pekung di dada dengan menghamburkan kemarahan di atas padang.
Balingan botol mineral yang disiarkan di kaca televisyen mungkin dituju kepada jurulatih negara, B. Stahianathan namun agak malang, ia terkena pula jurulatih UAE, Dominique Bathenay, sehingga menimbulkan kemarahan jurulatih Perancis itu.
Bagi mereka yang ada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, laungan geram dan amarah 10,000 peminat bola sepak tanah air itu bukan satu perkara yang main-main.
Manakan tidak, Malaysia mengulangi episod malang kekalahan demi kekalahan pada aksi sulung Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 sehingga ada peminat yang mengatakan skuad bola sepak negara menipu mereka dengan janji-janji manis.
Bagi mereka, pasukan negara gagal memberikan aksi terbaik. Kata mereka, kalau kalah berbalas, ia masih boleh diterima, namun tanpa satu jaringan gol malah tiga percubaan tepat turut gagal menghasilkan sebarang gol.
Apa lagi yang dikehendaki oleh pemain negara kata peminat. Pemimpin dan persatuan dah bagi macam-macam kepada mereka bagi meningkatkan mutu bola sepak negara, namun hasilnya tetap serupa, malahan lagi teruk.
Permainan yang lemah longlai di depan penonton sendiri yang diiringi dengan sorakan pembakar semangat, langsung tidak boleh diterima oleh peminat bahkan pemimpin sekalipun.
Ada yang mahukan keseluruhan skuad bola sepak itu dibubarkan dan diberi peluang kepada pemain muda untuk mula mengambil tempat dan mengembalikan maruah negara di atas padang.
Malah ada lebih berani mahukan perubahan drastik pada keseluruhan struktur organisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu sendiri.
Sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris pada 19 Disember tahun lepas ada meramalkan prestasi skuad negara dan FAM hanya melalui logo lama dan baru.
Daripada apa yang dibaca di situ, 100 peratus logo baru FAM diramalkan mempunyai Feng Shui tidak baik manakala logo lama yang digunakan pada era 1960-1980-an diberikan gambaran positif yang mampu membawa kejayaan.
Dan secara kebetulan ketika 1962 dan 1974, Malaysia memenangi pingat gangsa pada persaingan Sukan Aisa dan pada tahun 1972, negara layak ke Sukan Olimpik di Munich and Moscow (1980).
Mungkin ia satu kebetulan namun secara pertimbangan logik, rata-rata pemain ketika itu bermain untuk negara seolah-olah berada di medan perang mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Bukan menidakkan kepentingan wang ringgit, namun, kebanggaan mewakili negara merupakan perkara utama yang diambil kira sebelum menerima habuan hasil penat lelah.
Namun itu dulu, kini, Sathia mempunyai alasan yang tersendiri dan dengan berani turut mengatakan Liga Malaysia bukan bola sepak sebenar ekoran kecergasan pemain yang diragui walaupun diberi 'nyawa kedua' memperbaiki mutu bola sepak negara selepas kecundang di Thailand bulan lepas.
Katanya, pencapaian di Liga M tidak boleh dipertaruhkan ke gelanggang antarabangsa ekoran kekalahan anak buahnya kepada UAE itu.
Namun apa yang peminat mahukan ialah prestasi yang membanggakan bukan alasan demi alasan yang diberikan. Malah Sathia juga beberapa kali menjelang perlawanan dengan UAE menunjukkan reaksi positif, Harimau Malaya mampu melakukan kejutan di depan penonton sendiri, namun hakikatnya, kita masih ditipu.
Bagi penonton, kejadian melempar botol air mineral ke padang yang ditujukan ke sesiapapun adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima, tidak kira pasukan negara kalah ataupun menang.
Tindakan itu sebenarnya mengundang padah dan mencemarkan imej negara yang mampu menghalang negara daripada menganjurkan acara sukan terutama bola sepak bertaraf antarabangsa di masa hadapan jika dikenakan tindakan.
Apa yang pasti, tindakan itu sudah mencemarkan imej negara di mata dunia terutama kepada pasukan UAE di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di negara itu semalam.
Kemarahan yang tidak dikawal, mengundang padah kepada imej negara dan kelakuan itu sedikit pun tidak mengubah senario bola sepak negara.
Tak perlulah membaling botol air mineral dan peminat paling tidak boleh meminta FAM mengiklankan pula jawatan pemain bola sepak negara seperti apa yang mereka pernah lakukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi Sukan SEA.
Saranan, cadangan, komen dan pandangan mengenai isu itu kini menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan agak panas dalam tempoh seminggu dua ini.
Namun jika perkara ini terus dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan serius dan drastik, penulis pasti selepas ini setiap perlawanan skuad negara, stadium akan kosong, yang adapun mungkin Mat-Mat Bangla yang bekerja menyapu sampah di sekitar stadium melihat perlawanan tersebut.
Apa pun, ingat... jangan sampai ofsaid dah la.

[ Dipetik daripada akhbar
Utusan Malaysia bertarikh 24 Januari 2009 ]

Saturday, December 6, 2008

Antara Charlie, Phuket dan Sathia


KEPUTUSAN perlawanan permulaan Piala AFF dengan Laos hari ini merupakan tanda awal bagi penilaian prestasi jurulatih bola sepak negara, B. Sathianathan sama ada khidmatnya diteruskan atau tidak pada musim akan datang.
Skuad bola sepak 22 pemain yang berangkat ke Phuket, – wilayah hiburan yang penuh dengan pancaroba Thailand - kelmarin menggunakan pesawat Charlie Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat ramai sebagai satu dimensi baru aksi antarabangsa para pemain yang sejak akhir-akhir ini dipertikaikan kredibiliti mereka.
Mengekalkan ramai pemain lama tanpa menghiraukan prestasi peringkat domestik, Sathia mengambil tindakan drastik untuk terus percaya terhadap kemampuan pemain senior.
Bagi dia, para pemain itu mempunyai sikap ampuh yang mampu mengelakkan keadaan menjadi huru-hara selain mampu mengekalkan rentak jika terus diasak oleh Laos.
Malah kata Sathia, pengalaman yang ada pada para pemain senior itu tidak dapat dibandingkan dengan apa-apa: “Mereka mampu menyerap tekanan berbanding pemain muda yang mudah hilang keyakinan.’’
Kenyataan itu juga terus menidakkan aksi terbaik pemain muda di peringkat liga tempatan kerana pada Sathia, dia mahukan mereka memberikan yang terbaik untuk pasukan kebangsaan.
Namun bagi peminat, tidak kiralah apa yang Sathia cuba nak terapkan sama ada mengambil pemain senior atau muda, namun apa yang diimpikan oleh penyokong hanyalah kemenangan di peringkat tertinggi.
Malah, jika berjaya di Piala AFF ini, pastinya ia merupakan satu kejayaan unggul dalam sejarah negara ekoran kita tidak pernah menjuarai kejohanan tersebut sejak ia mula diperkenalkan 12 tahun lalu dengan yang dikenali dengan nama Piala Tiger.
Terbaik pun, negara berjaya sampai ke peringkat final di Singapura pada tahun 1996 dan hanya ke aksi separuh akhir dari 2000 hingga 2006.
Ramai yang mempertikaikan kredibiliti Sathia sebagai jurulatih, lebih-lebih lagi selepas kekalahan pasukan negara pada Kejohanan Pestabola Merdeka dengan pasukan bawah 22 tahun Vietnam.
Kekalahan tersebut 5-6 hanyalah melalui sepakan penalti. Mungkin disebabkan tahun sebelumnya, negara melalui skuad yang hampir sama bimbingan Sathia berjaya mengalahkan Myanmar 3-1, jadi ia menjadi antara perbandingan yang diguna pakai oleh peminat bola sepak.
Namun jika disorot kembali prestasi Sathia sebagai jurulatih negara tahun ini, banyak juga peningkatan yang dilihat pada skuad Malaysia.
Terbaik, skuad negara berjaya mengekang kelab Liga Perdana England, Chelsea yang menang 2-0 di Stadium Shah Alam Julai lepas dan yang paling terbaru berjaya berkongsi kedudukan dengan penyandang juara Piala AFF, Singapura 2-2 pada perlawanan persahabatan di mana, republik itu rata-rata menggunakan pemain import yang diberi kerakyatan berganding kita yang menggunakan jentera tempatan sepenuhnya.
Prestasi merudum bola sepak negara terus dipertikaikan sehingga ada ahli Parlimen yang turut mempersoalkan kemampuan pemain selain megah menyatakan mereka tidak kenal pemain sekarang berbanding dahulu.
Disebabkan aksi pemain hambar (atau mungkin mereka membandingkan aksi pemain di Liga Perdana England) menyebabkan mereka tidak mahu mengambil tahu siapa dia pemain negara.
Tidak seperti zaman Mokhtar Dahari kata mereka, semua pemain dengan setiap posisi dapat diingati dengan tepat sehingga ke hari ini.
Apa pun, pemain tidak harus dipersalahkan secara total. Peminat juga tidak mungkin perlu dipersalahkan hanya kerana tidak mengenali pemain. Sathia juga bukanlah orang yang perlu dipertanggungjawabkan atas kesuraman prestasi bola sepak negara kerana semuanya berkait rapat.
Tidak ada pemain, tidak adalah peminat, dan pemain yang ingin beraksi baik, memerlukan jurulatih yang baik juga. Namun jika tidak ada peminat yang menyokong, pemain yang beraksi di stadium kosong juga lama kelamaan akan bosan dan mula berkira-kira hanya mahu menghabiskan musim tanpa mahu menunjukkan prestasi sebenar mereka.
Apa pun, kejayaan perlu dihasilkan di Piala AFF walaupun ia merupakan tahap saingan paling rendah rantau ini. Mungkin perjalanan masih jauh untuk bergelar jagoan Asia Tenggara, namun hakikatnya, jika semangat Harimau Malaya diterapkan, kebangkitan bola sepak negara pasti tercapai.
Mungkin kerisauan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kemerosotan bola sepak negara bakal reda dengan aksi anak Malaysia di Phuket, nanti.
Apa pun, jangan ofsaid dah la.

[ Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 2008 ]

Wednesday, November 26, 2008

Dua Datuk, dua senario berbeza


AHAD lalu menyaksikan dua Datuk yang dibesarkan di Pulau Pinang dan aktif dalam sukan raket mengalami dua senario yang amat berbeza.
Ratu Skuasy Dunia, Datuk Nicol Ann David berjaya mencatatkan kejayaan terbaik dengan memenangi kejuaraan Terbuka Hong Kong tiga kali berturut-turut sejak 2006, malah kemenangan itu juga merupakan kejayaan ke-10 berturut-turut tahun ini.
Mengalahkan musuh tradisi, Rachael Grinham dari Australia membolehkan juara dunia itu melebarkan rekod perlawanan tanpa kalahnya kepada 58 perlawanan berturut-turut.
Perlawanan dengan Grinham bukanlah mudah, namun Nicol berjaya ‘melanyak’ pemain Australia itu 14-12, 11-13, 11-8, 11-8.
Bagi peminat dan rakyat Malaysia, pastinya ia satu yang amat membanggakan sebab Nicol berjaya membuktikan status Nombor Satu Dunia dan gelaran Datuk itu satu perkara yang berbaloi.
Malah, saya pasti, pihak penaja pemain itu juga mampu senyum lebar ekoran Nicol tidak pernah menggagalkan mereka dan kalau kalah pun tidak melarat sehingga menyebabkan penyokong mual.
Sebaliknya kem badminton negara di Shanghai, China, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengalami suasana yang amat berbeza.
Shanghai agak suram ekoran azam Chong Wei untuk membalas dendam ke atas musuh tradisinya, Lin Dan yang menang emas Olimpik Beijing Ogos lalu, tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk 14-21, 19-21.
Peminat di Malaysia pastinya akan membezakan kedua-dua prestasi Datuk ini ekoran kedua-duanya bukan calang-calang, dua-dua merupakan pemain nombor satu dunia.
Mungkin di luar sana, banyak kata-kata yang kurang enak menyalahkan anak muda kelahiran Perak dan dibesarkan di Pulau Pinang ini. Itulah penyokong yang ada di negara ini. Menang disokong, kalah dikutuk. Apa pun itulah realiti. Jika kejayaan seseorang itu diukur dari prestasi terakhir, pastinya kejayaan demi kejayaan perlu dihasilkan, lebih-lebih lagi status yang tinggi sudah diperoleh.
Namun, sejak merangkul pingat perak di Olimpik Beijing Ogos lalu, Chong Wei seolah-olah tenggelam dan tidak mampu untuk mengekalkan prestasi terbaik untuk menjuarai kejohanan antarabangsa.
Dia gagal merangkul sebarang kejuaraan dalam tiga kejohanan antarabangsa terakhir yang disertai, hanya berjaya muncul naib juara di Terbuka Jepun dan Macau selain tersingkir pada separuh akhir Terbuka Perancis.
Pada suasana tempatan, Chong Wei berjaya muncul juara pada Terbuka Johor yang pada beliau hanya dianggap sebagai medan pemanas badan.
Bagi yang melihat perlawanan Ahad lalu, pastinya komen negatif kurang didengari kerana, pemain muda itu dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk membolosi semua ruang yang ada di bahagian Lin Dan.



Malah satu ketika, pada set pertama menyaksikan Chong Wei mampu menang selepas mendahului 15-12.
Namun, Lin Dan, yang baru beraksi selepas tiga bulan rehat – tidak seperti Chong Wei yang terpaksa memenuhi masa dengan pelbagai aktiviti sampingan dan latihan – tidak memberi peluang kepada pemain utama negara itu untuk terus mengutip mata.
Jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek juga tidak berjaya ‘melihat’ mana-mana bahagian yang mampu dibolosi Chong Wei sementara Lin Dan terus-menerus memerangkap dengan strategi unggul.
Kata Misbun: “Apa yang boleh saya katakan, Lin Dan adalah pemain yang unggul, prestasinya tidak berubah sejak menjuarai Sukan Olimpik. Biarpun berehat tiga bulan tetapi dia mempunyai rakan sparring yang berkualiti tinggi, jadi dia sentiasa mendapat sesi latihan terbaik.”
Jika ini yang disedari oleh Misbun, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan Chong Wei terus menerus menemui kegagalan.
Jika rakan sparring yang perlu ditukar, ia perlu dilakukan... dengan kadar segera.
Walaupun cuma perlu sampai ke peringkat akhir Siri Super untuk mengekalkan status nombor satu dunia, namun, peminat atau mungkin Chong Wei sendiri mendambakan kejayaan antarabangsa.
“Lin Dan kena menang kedua-dua kejohanan - Terbuka China dan Hong Kong untuk merampas kedudukan nombor satu dunia, sambil berharap saya terkeluar sebelum saingan akhir, jadi saya tidak boleh tersingkir awal jika mahu mempertahankan kedudukan,” ulas Chong Wei sebelum ke Shanghai minggu lepas.
Sesuatu perlu dilakukan kepada Chong Wei, walaupun pada hakikatnya, dia tidak mempunyai masa yang banyak untuk mengekang kemaraan Lin Dan di Terbuka Hong Kong yang bermula semalam hingga 30 November akan datang.
Mengulas kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Chong Wei sepatutnya bermain dengan lebih relaks dan tenang.
Namun tidak boleh terlalu tenang sehingga memberikan Lin Dan terus-menerus membaca kesilapan yang bakal dilakukan.
Jangan sampai ofsaid dah la.


[ Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia ]

Sunday, November 2, 2008

KWSP, kemampuan dan prestasi bola negara


SEMUANYA pasal bola. Sejak kebelakangan pelbagai isu timbul termasuklah yang terbaru isu pem bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh kebanyakan persatuan bola sepak negeri.
Malah, Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim secara terbuka dan tanpa malu menyatakan kepada media, PFA akan muflis jika KWSP meneruskan niat menyaman mereka kerana dikatakan berhutang caruman KWSP pemain sebanyak RM500,000.
Shahidan yang merayu supaya tindakan undang-undang tidak diambil agar PFA tidak jatuh muflis mengatakan, dia terpaksa mengeluarkan duit poketnya sendiri dalam mengurus bola sepak Indera Kayangan itu.
Masalah kewangan Perlis, yang menduduki tangga ke-7 pada persaingan Liga Super musim lepas semakin teruk selain turut dikatakan berhutang gaji dengan pemain sama seperti Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang mengancam untuk menarik diri daripada penyertaan Liga Malaysia musim depan ekoran beban kewangan yang semakin buruk.
Ketika peminat bola sepak negara ternanti-nanti aksi terbaik pasukan kesayangan mereka, isu-isu ini sedikit sebanyak melebarkan prasangka buruk terhadap kemampuan pasukan kesayangan masing-masing dalam saingan Liga M.
Jika sekitar tahun 90an dulu, kita akan dapat menyaksikan stadium penuh dengan penyokong fanatik setiap negeri menyokong dan bersorak untuk pasukan mereka namun memasuki abad baru ini, stadium seakan-akan kosong, malah hanya separuh kapasiti keseluruhan tempat duduk yang mampu diisi ketika perlawanan Pestabola Merdeka 2008 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu memuatkan 100,000 penonton, baru-baru ini.
Jika kurang penonton, maka persatuan negeri juga akan kekurangan sumber pendapatan untuk mentadbir perjalanan pasukan. Itu tidak lagi dikira kekurangan penajaan daripada syarikat swasta.
Peminat mahukan yang terbaik namun pemain dilihat tidak mampu memberikan persembahan mengikut permintaan peminat mereka.
Isu ini pastinya akan dikaitkan dengan zaman legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang mampu membuatkan peminat bola sepak negara melopong dan ternanti-nanti aksi pemain negara beraksi di kejohanan peringkat negeri, kebangsaan ataupun antarabangsa.
Stadium sentiasa penuh. Perbandingan itu pastinya akan berkisar dengan kemampuan SuperMokh dan rakan-rakan lain walaupun ketika itu tidak ada fasiliti atau sains sukan yang mampu meningkatkan prestasi pemain.
Dan isu ini juga akan membandingkan pasukan-pasukan yang dahulunya kecut perut dengan Malaysia tetapi kini sudah berada pada ranking terbaik malah layak untuk persaingan Piala Dunia walaupun fizikal mereka sama dengan pemain negara.
Jadi apa silapnya bola sepak negara? Pengurusan, pemain, sains sukan atau sokongan peminat sendiri?
Semua ini perlu difikirkan kembali. Jika kurang peminat datang ke stadium, perolehan pasukan negeri atau kelab akan kurang dan pembangunan prestasi pemain juga akan terbantut namun semua ini berkait rapat.
Ia akan berbalik semula dengan kemampuan pemain untuk menunjukkan aksi permainan hebat bagi membolehkan peminat memenuhi stadium.
Tapi... isu ini hampir tiada noktah. Jadi siapa yang salah dan siapa yang perlu diperbetulkan.
Jangan sampai ofsaid dah la.

[ Dipetik daripada Utusan Malaysia bertarikh 2 November 2008 ]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...