Wednesday, November 26, 2008

Dua Datuk, dua senario berbeza


AHAD lalu menyaksikan dua Datuk yang dibesarkan di Pulau Pinang dan aktif dalam sukan raket mengalami dua senario yang amat berbeza.
Ratu Skuasy Dunia, Datuk Nicol Ann David berjaya mencatatkan kejayaan terbaik dengan memenangi kejuaraan Terbuka Hong Kong tiga kali berturut-turut sejak 2006, malah kemenangan itu juga merupakan kejayaan ke-10 berturut-turut tahun ini.
Mengalahkan musuh tradisi, Rachael Grinham dari Australia membolehkan juara dunia itu melebarkan rekod perlawanan tanpa kalahnya kepada 58 perlawanan berturut-turut.
Perlawanan dengan Grinham bukanlah mudah, namun Nicol berjaya ‘melanyak’ pemain Australia itu 14-12, 11-13, 11-8, 11-8.
Bagi peminat dan rakyat Malaysia, pastinya ia satu yang amat membanggakan sebab Nicol berjaya membuktikan status Nombor Satu Dunia dan gelaran Datuk itu satu perkara yang berbaloi.
Malah, saya pasti, pihak penaja pemain itu juga mampu senyum lebar ekoran Nicol tidak pernah menggagalkan mereka dan kalau kalah pun tidak melarat sehingga menyebabkan penyokong mual.
Sebaliknya kem badminton negara di Shanghai, China, pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mengalami suasana yang amat berbeza.
Shanghai agak suram ekoran azam Chong Wei untuk membalas dendam ke atas musuh tradisinya, Lin Dan yang menang emas Olimpik Beijing Ogos lalu, tidak kesampaian apabila terpaksa tunduk 14-21, 19-21.
Peminat di Malaysia pastinya akan membezakan kedua-dua prestasi Datuk ini ekoran kedua-duanya bukan calang-calang, dua-dua merupakan pemain nombor satu dunia.
Mungkin di luar sana, banyak kata-kata yang kurang enak menyalahkan anak muda kelahiran Perak dan dibesarkan di Pulau Pinang ini. Itulah penyokong yang ada di negara ini. Menang disokong, kalah dikutuk. Apa pun itulah realiti. Jika kejayaan seseorang itu diukur dari prestasi terakhir, pastinya kejayaan demi kejayaan perlu dihasilkan, lebih-lebih lagi status yang tinggi sudah diperoleh.
Namun, sejak merangkul pingat perak di Olimpik Beijing Ogos lalu, Chong Wei seolah-olah tenggelam dan tidak mampu untuk mengekalkan prestasi terbaik untuk menjuarai kejohanan antarabangsa.
Dia gagal merangkul sebarang kejuaraan dalam tiga kejohanan antarabangsa terakhir yang disertai, hanya berjaya muncul naib juara di Terbuka Jepun dan Macau selain tersingkir pada separuh akhir Terbuka Perancis.
Pada suasana tempatan, Chong Wei berjaya muncul juara pada Terbuka Johor yang pada beliau hanya dianggap sebagai medan pemanas badan.
Bagi yang melihat perlawanan Ahad lalu, pastinya komen negatif kurang didengari kerana, pemain muda itu dilihat berusaha bersungguh-sungguh untuk membolosi semua ruang yang ada di bahagian Lin Dan.



Malah satu ketika, pada set pertama menyaksikan Chong Wei mampu menang selepas mendahului 15-12.
Namun, Lin Dan, yang baru beraksi selepas tiga bulan rehat – tidak seperti Chong Wei yang terpaksa memenuhi masa dengan pelbagai aktiviti sampingan dan latihan – tidak memberi peluang kepada pemain utama negara itu untuk terus mengutip mata.
Jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek juga tidak berjaya ‘melihat’ mana-mana bahagian yang mampu dibolosi Chong Wei sementara Lin Dan terus-menerus memerangkap dengan strategi unggul.
Kata Misbun: “Apa yang boleh saya katakan, Lin Dan adalah pemain yang unggul, prestasinya tidak berubah sejak menjuarai Sukan Olimpik. Biarpun berehat tiga bulan tetapi dia mempunyai rakan sparring yang berkualiti tinggi, jadi dia sentiasa mendapat sesi latihan terbaik.”
Jika ini yang disedari oleh Misbun, sesuatu perlu dilakukan bagi mengelakkan Chong Wei terus menerus menemui kegagalan.
Jika rakan sparring yang perlu ditukar, ia perlu dilakukan... dengan kadar segera.
Walaupun cuma perlu sampai ke peringkat akhir Siri Super untuk mengekalkan status nombor satu dunia, namun, peminat atau mungkin Chong Wei sendiri mendambakan kejayaan antarabangsa.
“Lin Dan kena menang kedua-dua kejohanan - Terbuka China dan Hong Kong untuk merampas kedudukan nombor satu dunia, sambil berharap saya terkeluar sebelum saingan akhir, jadi saya tidak boleh tersingkir awal jika mahu mempertahankan kedudukan,” ulas Chong Wei sebelum ke Shanghai minggu lepas.
Sesuatu perlu dilakukan kepada Chong Wei, walaupun pada hakikatnya, dia tidak mempunyai masa yang banyak untuk mengekang kemaraan Lin Dan di Terbuka Hong Kong yang bermula semalam hingga 30 November akan datang.
Mengulas kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob, Chong Wei sepatutnya bermain dengan lebih relaks dan tenang.
Namun tidak boleh terlalu tenang sehingga memberikan Lin Dan terus-menerus membaca kesilapan yang bakal dilakukan.
Jangan sampai ofsaid dah la.


[ Dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia ]

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...