Saturday, January 24, 2009

Alasan Sathia dan botol air mineral


HABIS sahaja perlawanan antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, rata-rata peminat bola sepak Malaysia berang dengan keputusan yang diperoleh oleh pasukan Harimau Malaya sehingga ada yang mula membuka pekung di dada dengan menghamburkan kemarahan di atas padang.
Balingan botol mineral yang disiarkan di kaca televisyen mungkin dituju kepada jurulatih negara, B. Stahianathan namun agak malang, ia terkena pula jurulatih UAE, Dominique Bathenay, sehingga menimbulkan kemarahan jurulatih Perancis itu.
Bagi mereka yang ada di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, laungan geram dan amarah 10,000 peminat bola sepak tanah air itu bukan satu perkara yang main-main.
Manakan tidak, Malaysia mengulangi episod malang kekalahan demi kekalahan pada aksi sulung Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 sehingga ada peminat yang mengatakan skuad bola sepak negara menipu mereka dengan janji-janji manis.
Bagi mereka, pasukan negara gagal memberikan aksi terbaik. Kata mereka, kalau kalah berbalas, ia masih boleh diterima, namun tanpa satu jaringan gol malah tiga percubaan tepat turut gagal menghasilkan sebarang gol.
Apa lagi yang dikehendaki oleh pemain negara kata peminat. Pemimpin dan persatuan dah bagi macam-macam kepada mereka bagi meningkatkan mutu bola sepak negara, namun hasilnya tetap serupa, malahan lagi teruk.
Permainan yang lemah longlai di depan penonton sendiri yang diiringi dengan sorakan pembakar semangat, langsung tidak boleh diterima oleh peminat bahkan pemimpin sekalipun.
Ada yang mahukan keseluruhan skuad bola sepak itu dibubarkan dan diberi peluang kepada pemain muda untuk mula mengambil tempat dan mengembalikan maruah negara di atas padang.
Malah ada lebih berani mahukan perubahan drastik pada keseluruhan struktur organisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu sendiri.
Sebuah akhbar tabloid berbahasa Inggeris pada 19 Disember tahun lepas ada meramalkan prestasi skuad negara dan FAM hanya melalui logo lama dan baru.
Daripada apa yang dibaca di situ, 100 peratus logo baru FAM diramalkan mempunyai Feng Shui tidak baik manakala logo lama yang digunakan pada era 1960-1980-an diberikan gambaran positif yang mampu membawa kejayaan.
Dan secara kebetulan ketika 1962 dan 1974, Malaysia memenangi pingat gangsa pada persaingan Sukan Aisa dan pada tahun 1972, negara layak ke Sukan Olimpik di Munich and Moscow (1980).
Mungkin ia satu kebetulan namun secara pertimbangan logik, rata-rata pemain ketika itu bermain untuk negara seolah-olah berada di medan perang mempertahankan kedaulatan Malaysia.
Bukan menidakkan kepentingan wang ringgit, namun, kebanggaan mewakili negara merupakan perkara utama yang diambil kira sebelum menerima habuan hasil penat lelah.
Namun itu dulu, kini, Sathia mempunyai alasan yang tersendiri dan dengan berani turut mengatakan Liga Malaysia bukan bola sepak sebenar ekoran kecergasan pemain yang diragui walaupun diberi 'nyawa kedua' memperbaiki mutu bola sepak negara selepas kecundang di Thailand bulan lepas.
Katanya, pencapaian di Liga M tidak boleh dipertaruhkan ke gelanggang antarabangsa ekoran kekalahan anak buahnya kepada UAE itu.
Namun apa yang peminat mahukan ialah prestasi yang membanggakan bukan alasan demi alasan yang diberikan. Malah Sathia juga beberapa kali menjelang perlawanan dengan UAE menunjukkan reaksi positif, Harimau Malaya mampu melakukan kejutan di depan penonton sendiri, namun hakikatnya, kita masih ditipu.
Bagi penonton, kejadian melempar botol air mineral ke padang yang ditujukan ke sesiapapun adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima, tidak kira pasukan negara kalah ataupun menang.
Tindakan itu sebenarnya mengundang padah dan mencemarkan imej negara yang mampu menghalang negara daripada menganjurkan acara sukan terutama bola sepak bertaraf antarabangsa di masa hadapan jika dikenakan tindakan.
Apa yang pasti, tindakan itu sudah mencemarkan imej negara di mata dunia terutama kepada pasukan UAE di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berada di negara itu semalam.
Kemarahan yang tidak dikawal, mengundang padah kepada imej negara dan kelakuan itu sedikit pun tidak mengubah senario bola sepak negara.
Tak perlulah membaling botol air mineral dan peminat paling tidak boleh meminta FAM mengiklankan pula jawatan pemain bola sepak negara seperti apa yang mereka pernah lakukan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad kebangsaan bagi Sukan SEA.
Saranan, cadangan, komen dan pandangan mengenai isu itu kini menjadi tajuk utama akhbar tempatan dan agak panas dalam tempoh seminggu dua ini.
Namun jika perkara ini terus dibiarkan tanpa ada sebarang tindakan serius dan drastik, penulis pasti selepas ini setiap perlawanan skuad negara, stadium akan kosong, yang adapun mungkin Mat-Mat Bangla yang bekerja menyapu sampah di sekitar stadium melihat perlawanan tersebut.
Apa pun, ingat... jangan sampai ofsaid dah la.

[ Dipetik daripada akhbar
Utusan Malaysia bertarikh 24 Januari 2009 ]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...